Ahad, 28 Julai 2013

FADHILAT RAMADHAN



IBADAT PUASA
Firman Allah Taala:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ ..
"Bulan Ramadhan (ialah bulan yang sungguh mulia lagi berkat), yang padanya diturunkan Al-Qur'an .. (1)
Kelebihan bulan Ramadhan dan keistimewaannya diterangkan pula dalam hadith yang berikut:
_______________________________
1. Ayat 185, Surah al-Baqarah.
7- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
_______________________________
1. Fath al-Bari (5:14).
Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
8- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ. (رواه مسلم)
8- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadhan,  terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Menurut huraian ulama' rahimahumullah., bahawa terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka,  serta terbelenggunya syaitan-syaitan di sepanjang bulan Ramadhan,  boleh difaham menurut maksudnya yang zahir untuk menghormati bulan yang mulia itu. Dan boleh juga difahamkan sebagai satu gambaran bahawa orang-orang yang berjaya merebut peluang mengisi bulan Ramadhan dengan berbagai jenis ibadat - yang wajib dan yang sunat dan berjaya pula mencegah dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang, maka amalnya yang baik itu akan membawanya masuk ke syurga dan amalnya itulah juga yang menyelamatkannya dari hasutan syaitan dan dari azab neraka.
______________________________
1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (1:1 87).
Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
9- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ يُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ. (رواه الترمذي والنسائي)
9- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat, katanya: "Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan!  Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan!  Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka - daripada memasukinya". Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan)." (1)
(Riwayat Tirmizi dan Nasa'i)
Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah. Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya digandakan pahalanya.
Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. menyatakan: Apabila tiba bulan Ramadhan, malaikat menyeru umat manusia menggunakan peluang yang baik itu dengan mengerjakan amal-amal kebajikan lebih dari biasa dan sebaliknya mana-mana yang hendak melakukan kejahatan janganlah mereka terdorong melakukannya.
Malaikat juga menerangkan dalam seruannya itu tentang kemurahan Allah Taala membebaskan orang-orang yang berdosa yang dijanjikan dengan azab seksa. Mudah-mudahan peluang yang baik dalam bulan yang mulia itu digunakan dengan sepenuhnya. (2)
________________________
1. Al-Targhib (2:97) - Hadith Sahih menurut keterangan al-Hakim.
2. Mastika Hadith (1:79).
Lebih lanjut diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
10- عَنْ سَلْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي آخِرِ يَوْمٍ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ أَظَلَّكُمْ شَهْرٌ عَظِيمٌ مُبَارَكٌ شَهْرٌ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، شَهْرٌ جَعَلَ اللَّهُ صِيَامَهُ فَرِيضَةً وَقِيَامَ لَيْلِهِ تَطُوُّعًا، مَنْ تَقَرَّبَ فِيهِ بِخَصْلَةٍ مِنَ الْخَيْرِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيهِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعَينَ فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَهُوَ شَهْرُ الصَّبْرِ وَالصَّبْرُ ثَوَابُهُ الْجَنَّةِ، وَشَهْرُ الْمُوَاسَاةِ، وَشَهْرٌ يُزَادُ فِي رِزْقِ الْمُؤْمِنِ فِيهِ، مَنْ فَطَّرَ فِيهِ صَائِمًا كَانَ مَغْفِرَةً لِذُنُوبِهِ وَعِتْقَ رَقَبَتِهِ مِنَ النَّارِ وَكَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَجْرِهِ شَيْءٌ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلَّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى تَمْرَةٍ أَوْ عَلَى شَرْبَةِ مَاءٍ أَوْ عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ، وَهُوَ شَهْرٌ أَوَّلَهُ رَحْمَةٌ وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ، مَنْ خَفَّفَ عَنْ مَمْلُوكِهِ فِيهِ غَفَرَ اللَّهُ لَه وَأَعْتَقَهُ مِنَ النَّارِ، وَاسْتَكْثِرُوا فِيهِ مِنْ أَرْبَعِ خِصَالٍ: خَصْلَتَيْنِ تُرْضُونَ بِهِمَا رَبَّكُمْ وَخَصْلَتَيْنِ لَا غِنَاءَ بِكُمْ عَنْهُمَا فَأَمَّا الْخَصْلَتَانِ اللَّتَانِ تُرْضُونَ بِهِمَا رَبَّكُمْ فَشَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَتَسْتَغْفِرُونَهُ، وَأَمَّا الْخَصْلَتَانِ اللَّتَانِ لَا غِنَاءَ بِكُمْ عَنْهُمَا فَتَسْأَلُونَ اللَّهَ الْجَنَّةَ وَتَعُوذُونَ بِهِ مِنَ النِّارِ، وَمَنْ سَقَى صَائِمًا سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ حَوْضِي شَرْبَةً لَا يَظْمَأُ حَتَّى يَدْخُلَ الْجَنَّةَ. (رواه ابن خزيمة في صحيحه)
10- Dari Salman r.a, katanya: Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami (dalam salah satu khutbahnya) pada hari yang akhir dari bulan Syaaban sabdanya (1): "Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi (bulan Ramadhan) yang besar kemuliaannya, lagi berkat.  Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (malam Lailatul Qadar).
"Bulan yang puasanya dijadikan Allah satu perintah yang diwajibkan dan (selain dari itu) disunatkan mengerjakan sembahyang tarawih pada malam harinya".
"Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan - samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu - samalah seperti ia menunaikan tujuh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain".
"Bulan Ramadhan juga ialah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu pahalanya ialah syurga;  ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan dan ia juga bulan yang padanya ditambahkan rezeki orang-orang yang beriman".
"Barangsiapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa,  maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun".
"Sababat-sababat Baginda berkata:  "Ya Rasulullah,  kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa. " Lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan:  "Allah Taala akan memberikan pahala yang tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji buah tamar (kurma) atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air. "Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat,  pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka".
"Barangsiapa meringankan beban kerja khadamnya (orang gajinya) dalam bulan Ramadhan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari neraka".
"Banyakkanlah kamu mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadhan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat-sangat perlukan. Ada pun dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu itu ialah: Pertama - mengucap:
أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلاَّ الله
Kedua - (banyakkanlah) beristighfar (memohon ampun) kepadanya dengan menyebut:
أستغفر الله
Ada pun dua perkara lagi yang sangat-sangat kamu perlukan itu pula ialah: Pertama (banyakkanlah) memohon kepada Allah Taala supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga,  serta berlindung kepadanya dari azab neraka - dengan menyebut:
نَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ.
"Dan selain itu, (sabda Baginda lagi): Barangsiapa memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa), Allah Taala akan memberi minum kepadanya dari kolam-Ku (kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja (yang menjadikan dia) tidak akan merasa dahaga (selama-lamanya) sehingga ia masuk ke dalam syurga.(2)
(Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).
Demikian mulianya dan berkatnya bulan Ramadhan dan demikian pula besarnya pahala yang diberikan bagi tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan di sepanjang bulan yang membawa rahmat itu.
____________________________
1. Yakni sesudah memuji Allah seperti yang lazim dilakukan pada tiap-tiap khutbahnya.
2. Al-Targhib (2:94) dan Misykat al-Masabih (1:615) dengan berlainan sedikit lafaznya.

Khamis, 13 Jun 2013

Bacaan Yaa Sin SKKB

Khusyuk
Mantap..tuan guru




Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban



Kelebihan Nisfu Sya’ban
Rasulullah sallALLAHU ‘alaihi wasallam bersabda:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).
(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)
Hadith di atas adalah satu2nya dijumpai diriwayatkan SAHIH dari Rasulullah SAW berkenaan fadhilat nisfu Sya’ban.  Itupun hanya dinilai sahih oleh ‘ulama mutaakhir.  Selain daripada di atas, “hadith-hadith” berkenaan nisfu Sya’ban adalah maudhu’ (palsu) dan dhaif (lemah).
Adapun berkenaan beberapa amalan masyarakat umum dalam menyambut nisfu Sya’ban, berikut disenaraikan beberapa pandangan ‘ulama muktabar tentangnya:
(1)  Dr. Yusuf al-Qaradawi:
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.”
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut)
(2)  Dr. Yusuf al-Qaradawi:
(Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah).
(Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya).
(Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)
(3)  Al-Hafiz al-Iraqi:
Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw.


(4)  Al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’:
Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama).
(Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).
(5)  Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz:
Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu).
(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).
(6)  Al-Imam as-Suyuti:
(Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah).
(Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)
Kesimpulan saya:
  • Beribadatlah mengikut apa yang telah disyariatkan melalui nas sahih yang diperolehi dari al-Quran dan as-Sunnah.  Jangan sekadar ikut-ikutan, tanpa sandaran yang kukuh.
  • Berhati2lah dengan ancaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam hal berdusta ke atas Baginda SAW.  (Berdusta ke atasnya bermaksud menyandarkan sesuatu amalan dan perkara, walhal Nabi SAW tak pernah berkata sebegitu).
Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”  (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka)
Semoga ALLAH Yang Maha Pengampun mengampuni dosa-dosa kita, amin.
wAllahu ta’ala a’lam.

Iqra'

Read more: http://www.kompiajaib.com/2012/07/al-quran-flash-online-widget-untuk-blog.html#ixzz2LoAxaXYc